17 institusi TVET China sedia 2,000 tempat latih pelajar Malaysia

17 institusi TVET China sedia 2,000 tempat latih pelajar Malaysia

Komitmen oleh institusi-institusi China itu merupakan 'hadiah' sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini, menurut PKPB.

Peluang latihan untuk pelajar TVET di China meliputi pelbagai bidang teknologi termasuk EV, AI, IoT, serta teknologi maklumat dan pemesinan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 17 institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di China bersetuju untuk menyertai Malaysia-China Institute (MCI) dan menyediakan 2,000 kuota latihan peningkatan kemahiran kepada pelajar TVET dari Malaysia sepanjang tahun ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Mohammad Rizan Hassan dalam kenyataan berkata, peluang latihan meliputi pelbagai bidang teknologi termasuk kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), solar, teknologi maklumat dan pemesinan.

Menurutnya, perkara itu dipersetujui semasa seminar Malaysia-China Vocational Education yang diadakan secara bersama oleh PKPB dan TANG International Education (China) di Beijing, China baru-baru ini.

Seminar itu turut menyaksikan Penasihat PKPB Manndzri Nasib yang juga pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dilantik sebagai ketua koordinator MCI.

Mengulas mengenai pelantikannya, Manndzri dalam kenyataan sama berkata, komitmen yang diberikan institusi-institusi di China itu merupakan “hadiah” sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini, yang diyakini akan kekal kukuh dengan kerjasama yang terjalin merentasi pelbagai aspek.

“Keserasian yang ada ini perlu ditingkatkan dengan kesungguhan dan komitmen kedua-dua belah pihak untuk terus menawarkan kerjasama pragmatik yang berkonsepkan perkongsian untuk manfaat bersama.

“Justeru, faktor-faktor pemangkin seperti perdagangan dan pelaburan perlu diseimbangkan dengan keberhasilan tenaga pakar dan kemenjadian modal insan berkemahiran kedua-dua buah negara dengan harapan kelestarian kerjasama yang lebih berpanjangan,” katanya.

Penubuhan MCI diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pada 9 Nov lepas semasa lawatan rasmi Naib Presiden China Han Zheng ke Malaysia sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.