
Ia susulan rampasan 528kg dadah jenis syabu bernilai RM19 juta pada Rabu lalu serta menahan empat lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun untuk membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Kamarudin Md Din, berkata operasi bermula dengan pasukan JSJN IPK Perlis menahan lelaki, 35, di sebuah rumah di sekitar Padang Besar.
“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kita kepada satu tempat penyimpanan sejumlah besar dadah di Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Jalan Tasoh-Kaki Bukit-Padang Besar.
“Pemeriksaan menemukan troli besi yang ditutupi ranting dan daun terbiar, serta 20 guni berjahit yang di dalamnya terdapat 480 bungkusan plastik teh cina, disyaki mengandungi dadah.
“Susulan itu, tiga lagi lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan dekat lokasi kejadian yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit,” katanya menurut Harian Metro, pada sidang media di IPK Perlis.
Kamarudin berkata, risikan polis mendapati sindiket itu aktif sejak setahun lalu dan menggunakan laluan hutan berkenaan sebagai transit untuk membawa masuk bekalan syabu dari negara jiran.
Katanya, laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand yang digunakan sindiket hanya 3km dari hutan berkenaan, manakala 2km dari jalan utama.
“Sememangnya ada akses untuk kenderaan masuk ke lokasi itu dan membawa keluar bekalan dadah, sebelum syabu dipasarkan ke kawasan Pantai Barat Semenanjung.
“Dengan jumlah rampasan ini, ia boleh digunakan seramai 2.6 juta orang,” katanya memaklumkan polis turut menyiasat jika terdapat pembabitan penyelia hutan dengan sindiket itu.
Beliau berkata, siasatan juga dibuat bagi mengesan saki baki anggota sindiket dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selain itu, kita juga merampas jam tangan, wang tunai, lapan motosikal, tiga kereta, pacuan empat roda dan sebuah jengkaut.
“Semua suspek positif dadah jenis ketamin dan syabu serta mempunyai rekod kesalahan lampau. Mereka direman tujuh hari bermula 10 dan 11 Jan lalu,” katanya.