Sim saran Perkeso bina 3 lagi pusat rehabilitasi

Sim saran Perkeso bina 3 lagi pusat rehabilitasi

Cadangan itu agar Perkeso boleh mengembangkan perkhidmatan berkenaan ke seluruh negara.

Kementerian Sumber Manusia mahu Perkeso kembangkan perkhidmatan rehabilitasi ke seluruh negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disaran membina tiga lagi pusat rehabilitasi baru termasuk di Sabah dan Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Cadangan itu agar Perkeso boleh mengembangkan perkhidmatan berkenaan ke seluruh negara.

“Ini bagi memastikan para pekerja mendapat akses yang lebih mudah kepada pusat ini serta membantu para pekerja untuk kembali bekerja dan meningkatkan produktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan selepas melawat Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak.

Katanya lagi, setakat ini hanya Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh, Melaka yang beroperasi manakala dua lagi di Ipoh, Perak dijangka siap dibina tahun ini dan disusuli dengan Terengganu.

“Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak yang beroperasi sejak 1 Oktober 2014 satu-satunya pusat rehabilitasi di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau menambah pusat itu mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan latihan vokasional dengan pelbagai kemudahan berteknologi tinggi, bagi membantu golongan pekerja yang ditimpa bencana agar dapat berdikari dan kembali bekerja semula.

Steven berkata sehingga kini, seramai 15,214 pekerja termasuk pekerja yang bukan pencarum Perkeso menikmati kemudahan sedia ada di pusat rehabilitasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.