Seleweng kutipan zakat, suami isteri bebas dengan bon mahkamah

Seleweng kutipan zakat, suami isteri bebas dengan bon mahkamah

Siasatan awal mendapati pasangan itu menjalankan transaksi kutipan dalam talian dan dipercayai gagal mendepositkan zakat sejak Mac hingga September tahun lalu.

Majistret membenarkan permohonan polis membebaskan pasangan itu dengan jaminan bon RM50,000 seorang mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suami isteri yang direman bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM9.62 juta, dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah hari ini.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan permohonan polis membebaskan lelaki 50 tahun bersama wanita 53 tahun itu dengan jaminan bon RM50,000 seorang mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Sinar Harian melaporkan dua ejen kutipan zakat itu tiba di Mahkamah Majistret Ipoh sambil diiringi polis pada 9.30 pagi tadi dan dibebaskan 20 minit kemudian.

Pasangan itu direman 10 hari mulai 6 Jan lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan pecah amanah.

Mereka ditahan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan IPK Perak di sebuah lokasi di Kuala Lumpur susulan laporan MAIPk.

Siasatan awal mendapati suspek menjalankan transaksi kutipan dalam talian dan dipercayai gagal mendepositkan zakat sejak Mac hingga September tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.