Guna dokumen palsu kurangkan duti kereta mewah, 3 mengaku salah

Guna dokumen palsu kurangkan duti kereta mewah, 3 mengaku salah

Kes itu susulan laporan kekurangan kutipan duti kastam di Langkawi seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022.

Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar Rohatul Akmar Abdullah akan menetapkan hukuman terhadap semua tertuduh esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dipercayai untuk mendapatkan pengurangan duti kereta mewah sedangkan kenderaan terlibat tidak layak menerimanya.

Tertuduh Mohd Noh Hussain, 47, Mohd Khairol Suberi, 36, dan Fairul Ismazi Ishak, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagaimanapun, Rohatul menetapkan untuk menjatuhkan hukuman esok.

Noh yang merupakan bekas pengurus gudang didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu menggunakan surat akuan palsu bertarikh 6 Mei 2014 dan menggunakan borang kastam palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 21 Mei 2014 dan 1 Jun 2021.

Sepuluh lagi pertuduhan pilihan membabitkan dokumen palsu yang dihadapi Noh dipertimbangkan sebagai “take into consideration” (TIC) bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah, menurut Bernama.

Sementara itu, Khairol yang bekerja sebagai “runner” didakwa atas dua pertuduhan menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 27 April 2021 serta antara 21 April dan 22 April 2021.

Fairul yang bekerja sendiri juga didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di lokasi sama pada 22 Nov 2021.

Kelima-lima pertuduhan ke atas tiga tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Rohatul membenarkan Noh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala Khairol dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan Fairul diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Mohd ‘Afif Ali, manakala semua tertuduh diwakili peguam Quah Chien Chieh dan Mohd Hakim Hamran.

Pada 13 Jan, SPRM dalam kenyataan berkata enam anggota sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah di Langkawi akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, pada 15 dan 16 Jan.

Katanya, semua suspek itu ditahan pada Julai tahun lalu susulan laporan kekurangan kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.