
Bekas ketua penerangan Umno, tidak yakin bahasa kebangsaan sahaja boleh menyatukan pelbagai kaum di negara ini, seperti dicadangkan Khairy Jamaluddin, dalam audio siar Keluar Sekejap.
Kedua mereka mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, mendakwa orang India di Malaysia tidak setia kerana masih terikat dengan negara asal mereka.
“Tapi, yakinlah kalau kita tak dapat terapkan perasaan sayang hormat satu sama lain kalaupun sampai tahap fasih bahasa Melayu, masih ada perpecahan kalau tak dapat capai saling menghormati, dalam perbezaan ini semua adalah rakyat Malaysia,” kata Shahril.
Terdahulu, Khairy, yang juga bekas menteri kesihatan, mahu usaha lebih dibuat memartabatkan bahasa Melayu untuk digunakan kebanyakan masyarakat, bukan sekadar bergantung kepada sistem pendidikan semata.
“Ini perkara paling mudah untuk dipertikaikan. Selalu keluar media sosial tak boleh perbaharui passport tak boleh cakap bahasa Melayu, dijadi tanda mereka tak setia kepada Malaysia, tak komited kepada negara bangsa, jadi kemenangan mudah bagi hujah tak fasih berbahasa Melayu, tak setia kepada negara,” katanya.
Kedua-dua mereka juga turut mengecam Mahathir kerana kenyataan dalam wawancara bersama stesen TV Satelit India itu.
“Dalam konteks Perlembagaan hampir mustahil minta bukan Melayu jadi Melayu kecuali minta mereka menganut Islam, jadi wujud pertembungan di situ,” kata Shahril.
Sehubungan itu, Mahathir disaran agar berhenti daripada mengemuka hujah sedemikian dan mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia walaupun mereka berbeza latar belakang.
“Berhenti persoal kesetiaan kaum bukan Melayu hanya kerana tidak asimilasi kebudayaan Melayu. Konteks perkauman perlu dilihat secara adil bukan cari populariti dalaman,” kata Shahril.