
Katanya, tahun lalu ada kes di mana pendakwa raya menghentikan pertuduhan terhadap “individu terkemuka”.
“Apabila pendakwa raya memutuskan untuk menarik balik pertuduhan, mahkamah hanya mempunyai satu daripada dua pilihan sangat terhad,” katanya merujuk sama ada memberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) atau pembebasan penuh.
“Mahkamah tidak boleh patah balik dan mendesak pendakwa raya mengekalkan pertuduhan.”
Tetapi, Tengku Maimun ketika berucap merasmikan Pembukaan Tahun Perundangan, di sini, tidak merujuk mana-mana kes tertentu.
Hakim tertinggi negara itu berkata badan kehakiman dan pendakwa raya mempunyai fungsi tersendiri dari segi Perlembagaan dan kedua-duanya perlu bertindak secara adil dalam melaksanakan kuasa mereka.
September lalu, Zahid Hamidi diberikan DNAA atas semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes Yayasan Akalbudi.
Susulan itu, timbul gesaan untuk penjelasan berhubung permintaan pihak pendakwaan membebaskan Zahid secara bersyarat.
Presiden Umno itu didakwa menyeleweng jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah daripada pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri dari 2013 hingga 2018.
Keputusan jadi duluan
Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi tidak boleh terlalu mudah membuat keputusan tanpa mengikut duluan.
Katanya, Mahkamah Persekutuan tidak boleh bersikap tidak konsisten kerana orang ramai mengharapkan kejelasan dan kepastian undang-undang.
Beliau turut mengingatkan mahkamah rendah supaya mematuhi duluan ditetapkan mahkamah lebih tinggi kerana pendapat hakim sendiri tidak relevan disebabkan “stare decisis”.
“Walaupun hakim atau mahkamah percaya keputusan mahkamah lebih tinggi salah, mereka masih bertanggungjawab mematuhinya.
“Pihak terbabit akan membawa kes itu ke mahkamah lebih tinggi untuk berhujah memihak kepada tindakan tidak mengikut duluan ditetapkan, jika keadaan memerlukannya.”