Nafi terlibat kartel dadah, anak ketua menteri Sabah buat laporan polis

Nafi terlibat kartel dadah, anak ketua menteri Sabah buat laporan polis

Reza Hajiji berkata, tuduhan yang tersebar menerusi Whatsapp itu hanya bertujuan memburukkan namanya.

Reza Hajiji membuat laporan di IPD Tuaran petang tadi susulan tersebarnya tuduhan mengaitkan dirinya dengan kegiatan dadah di Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Anak Ketua Menteri Sabah, Reza Hajiji, membuat laporan polis hari ini, menafikan menjadi buruan polis kerana terbabit dengan kegiatan dadah terbesar di Sabah.

Beliau membuat laporan tersebut di IPD Tuaran petang tadi susulan tersebarnya tuduhan mengaitkan dirinya dengan kegiatan dadah tersebut.

Katanya, tuduhan dan fitnah yang tersebar menerusi Whatsapp yang mengaitkan beliau dengan kegiatan itu tidak benar sekali dan hanya bertujuan memburukkan namanya.

“Semua dakwaan terhadap saya yang mengaitkan dengan kegiatan dadah adalah tidak berasas serta menjejaskan reputasi dan nama baik diri serta keluarga,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau turut meminta pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) mengesan dalang yang menyebarkan tuduhan tersebut.

Terdahulu, tular rantaian mesej mendakwa anak sulung ketua menteri Sabah Hajiji Noor itu terbabit dalam kartel dadah di Sabah dan baru-baru ini ditahan serta disiasat polis.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah, yang aktif mengedar syabu sejak 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.