
Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah berkata wanita 54 tahun itu terpengaruh dengan iklan pelaburan di Facebook yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat pada Oktober lalu.
Katanya, mangsa kemudiannya menekan pautan diberikan sindiket dan mula berurusan dengan seorang wanita warga China menerusi aplikasi WhatsApp untuk menyertai pelaburan saham itu.
“Suspek meminta mangsa memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan. Pada masa sama, mangsa turut memberikan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan akaun bagi tujuan pendaftaran.
“Selepas menyatakan minat dengan pelaburan itu, mangsa bersetuju memasukkan RM314,000 ke tiga akaun berbeza secara berperingkat,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata hasil semakan dalam akaun pelaburan mangsa mendapati ada keuntungan RM2.06 juta, tetapi untuk mengeluarkan wang itu, suspek meminta mangsa membayar RM240,000.
Katanya suspek memberitahu mangsa wang keuntungan itu tidak dapat dikeluarkan kerana akaun pelaburannya terbabit aktiviti pengubahan wang haram.
“Selepas memenuhi permintaan suspek membuat bayaran itu, mangsa sehingga kini belum menerima apa-apa keuntungan seperti dijanjikan.”
Ismail berkata mangsa mula berasa tertipu lalu membuat laporan di Balai Polis Parit Raja dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.