Bos peruncitan tak sambut baik warga asing dibenar mohon lesen perniagaan

Bos peruncitan tak sambut baik warga asing dibenar mohon lesen perniagaan

Ameer Ali Mydin berkata Malaysia patut fokus menarik pelaburan asing, bukannya 'membenarkan sesiapa saja datang ke sini dan menjalankan pelbagai perniagaan'.

Peningkatan aduan berhubung lesen perniagaan ‘Ali Baba’ disebabkan semakin banyak kedai kawalan asing di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan perniagaan tidak menyambut baik cadangan ahli ekonomi membenarkan warga asing memohon lesen perniagaan secara terus dalam usaha mengekang amalan Ali Baba.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Ameer Ali Mydin menyifatkan cadangan Geoffrey William “bukan penyelesaian”.

Katanya warga asing sudah dibenarkan mendapat lesen bagi perniagaan tertentu – “tetapi jangan beritahu saya Malaysia perlu memberi lesen kepada warga asing (untuk mengendalikan) kedai serbaneka dan pasar borong”.

Beliau berkata perniagaan sedemikian perlu diserahkan kepada rakyat Malaysia kerana ia tidak begitu memerlukan kepakaran untuk dikendalikan.

Ameer memberitahu FMT, Malaysia patut fokus menarik pelaburan asing, bukannya “(hanya) membenarkan sesiapa saja datang ke sini dan menjalankan bermacam jenis perniagaan”.

“(Kalau tidak) di mana orang tempatan nak cari kerja, bila orang tempatan nak jadi ahli perniagaan (usahawan) kalau kita bagi semua ini kepada warga asing?” soalnya.

Cadangan Williams, profesor di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, menyusul respons terhadap gesaan penggubalan undang-undang bagi mengekang amalan Ali Baba dalam penggunaan lesen perniagaan oleh pekerja asing.

Pada 24 Dis lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata cadangan perundangan “anti-Ali Baba” untuk menamatkan amalan “rent-seeking” boleh digunakan terhadap pemilik perniagaan menyalahgunakan lesen mereka, yang membawa kepada peningkatan perniagaan kawalan asing di pusat bandar.

Williams berkata, terdapat “sedikit kemudaratan ekonomi” dalam membenarkan warga asing menjalankan perniagaan dan penyelesaiannya ialah “mengubah peraturan permainan untuk membolehkan pasaran berfungsi” dengan “menyingkirkan orang tengah” dan membenarkan warga asing memohon lesen bagi menjalankan perniagaan secara langsung.

Ameer berkata cadangan Williams untuk “menghalalkan” amalan menyewa perniagaan akan menghalang ketelusan yang sangat diperlukan untuk memastikan pemegang lesen bertanggungjawab.

Setiausaha Agung Persatuan PKS, Chin Chee Seong berkata penguatkuasaan masih menjadi penghubung paling lemah dalam cadangan Williams.

Beliau berkata penyelesaiannya ialah membenarkan beberapa agensi kerajaan mendapatkan lesen untuk mengendalikan perniagaan, sekali gus mewujudkan saingan bagi perniagaan tempatan dan membantu menurunkan harga barangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.