
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata ia termasuk menghormati proses demokrasi.
“Usaha penggubalan satu akta Parlimen berpenggal tetap oleh kerajaan perpaduan bukan satu langkah terdesak, tetapi sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“…dalam menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, pihaknya juga akan menjalankan kajian terperinci berhubung cadangan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi itu memperkenalkan akta penggal tetap, sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan akta Parlimen berpenggal tetap,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan membidas cadangan tersebut kerana disifatkan langkah terdesak dan tidak masuk akal memandangkan pertukaran kerajaan di luar pilihan raya umum dibenarkan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan prinsip demokrasi negara.
Azalina sebaliknya menjelaskan, usaha memperkenalkan akta penggal tetap itu juga sebagai antara usaha menghormati mandat pilihan raya dan proses demokrasi.
Beliau berkata, terdapat banyak negara mengamalkan Parlimen berpenggal tetap dengan garis masa dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan dan ekonomi serta menghalang cubaan rampasan kuasa.
“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” tambahnya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim juga menolak cadangan tersebut kerana menurutnya terdapat keburukan kerana boleh membawa kepada kediktatoran, yang mana kerajaan korup akan berterusan memerintah tanpa boleh diganti.