
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata saranan timbalan perdana menteri itu tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi iaitu parti atau gabungan mempunyai kerusi terbanyak boleh menjadi kerajaan.
“Demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dipandu Perlembagaan Persekutuan sudah teruji sesuai sejak merdeka.
“Sistem tempoh kerajaan yang tetap hingga cukup penggal ada keburukannya kerana boleh membawa kediktatoran, pemerintah korup tidak boleh diganti,” katanya kepada FMT.
Semalam, Zahid mencadangkan diwujudkan RUU untuk mengekalkan kerajaan sehingga tamat penggal, susulan dakwaan wujud usaha menumbangkan pemerintahan Anwar Ibrahim menerusi ‘Langkah Dubai’ seperti dilaporkan media.
Zahid berkata RUU itu penting bagi menghalang usaha menumbangkan kerajaan atau ‘tebuk atap’ yang dipilih melalui pilihan raya, seterusnya menstabilkan negara.
Hassan sebaliknya mencadangkan pindaan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan supaya dinyatakan dengan jelas secara bertulis bahawa penentuan sama ada perdana menteri mempunyai majoriti atau tidak hendaklah dibuat di Dewan Rakyat.
“Ia boleh dibuat sama ada usul percaya dari kerajaan atau pembangkang mengemukakan usul tidak percaya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari secara sinis menyokong saranan Zahid itu, namun mahu dilaksanakan selepas kerajaan perpaduan kini ditukar.
“Saya cadangkan ia dilaksanakan segera selepas kerajaan ini bertukar,” katanya yang juga ketua penerangan PAS.