
Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusof, berkata antara kaedah penyuraian trafik itu ialah memperkenalkan beberapa lagi laluan kontra bagi memudahkan kenderaan terutama pelancong memasuki kawasan tersebut dan sekitarnya.
“Setakat ini, zon bebas kenderaan di Banda Hilir masih di peringkat percubaan dan kita masih mendapatkan maklum balas daripada rakyat Melaka untuk menambah baik pelaksanaannya.
“Zon bebas kenderaan ini bersifat kekal pada hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad kerana kawasan itu merupakan tumpuan pelancong sekali gus ia memberi tambah nilai kepada pelancong dan pengusaha produk pelancongan di situ,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Amanat Tahun Baharu 2024.
Mengulas lanjut, beliau mengakui pelaksanaan zon bebas kenderaan itu pasti memberi kesan kepada pelbagai pihak terutama peniaga di sekitar kawasan berkenaan, namun memberi jaminan keadaan itu bersifat sementara dan diyakini akan memberi pulangan lebih baik kepada golongan tersebut dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Menurutnya, sebagai contoh pelaksanaan zon bebas kenderaan di Jonker Walk sebelum ini juga mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuk peniaga di kawasan itu, namun kini mereka meminta ia terus dikekalkan kerana memberi kesan positif khususnya dari aspek ekonomi.
Zon bebas kenderaan di Banda Hilir melibatkan penutupan jalan selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.
Penutupan dan perubahan jalan itu bermula dari Persimpangan Jalan Laksamana dengan Jalan Banda Kaba (di antara Bangunan Public Bank Banda Hilir dan Bangunan Madonna) melalui Jalan Banda Kaba, Lorong Chan Koon Cheng dan Jalan Chan Koon Cheng hingga Hotel Equatorial.
Pelaksanaan itu mendapat tentangan peniaga makanan dan cenderamata di Medan Samudera yang berharap kerajaan negeri mempertimbangkan inisiatif berkenaan termasuk memendekkan tempoh masa penutupan jalan kepada hanya setiap Sabtu seperti dilakukan sebelum ini.