Pemimpin PN dakwa tiada jaminan usul tidak percaya Anwar diterima

Pemimpin PN dakwa tiada jaminan usul tidak percaya Anwar diterima

Ahmad Fadhli Shaari mendakwa beberapa usul pembangkang sebelum ini ditolak ‘mentah-mentah’ oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim jika serius mahu menguji keabsahannya sebagai perdana menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) mendakwa tiada jaminan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan diterima Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Mengulas cabaran pembangkang berbuat demikian bagi menguji keabsahan Anwar pada sidang Dewan Rakyat bermula 26 Feb depan, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata ini kerana sebelum ini beberapa usul ditolak ‘mentah-mentah’.

Sebelum in, Dewan Rakyat menolak usul pembangkang untuk  berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid Hamidi dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Ahmad Fadhli Shaari.

“Tiada jaminan bahawa usul tidak percaya akan diterima untuk dibahas dan diundi,” kata Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas kepada FMT.

“Usul tidak percaya bukan satu-satunya kaedah menukar kerajaan, malah tidak pernah berlaku di negara ini.”

Semalam, Anwar dilaporkan media berkata pembangkang tiada kekuatan menjatuhkan kerajaan termasuk membawa usul tidak percaya terhadapnya sebagai perdana menteri di Parlimen.

Menurut Anwar, kerajaan pimpinannya sudah memberi peluang kepada PN berbuat demikian sejak setahun lalu namun tiada sebarang tindakan dibuat.

Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb ini, jika serius mahu menguji keabsahannya yang didakwa tiada majoriti mudah 112 sokongan, merujuk kepada dakwaan “Langkah Dubai”.

Sebelum ini, media melaporkan wujud “Langkah Dubai”, perbincangan didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Noor Nirwandy Mat Noordin.

Penganalisis politik Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpandangan kerajaan dan pembangkang perlu menoktahkan isu itu dengan segera kerana rakyat mahu kebajikan mereka dijaga selain ekonomi negara terus kukuh.

“Jangan sampai jadi retorik politik hingga masyarakat hilang kepercayaan pada sistem politik negara,” katanya.

Kartini Aboo.

Sementara itu, Kartini Aboo dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula menyifatkan politik tarik tali yang berlaku susulan dakwaan ‘Langkah Dubai’ tidak sihat untuk negara dan perlu dihentikan.

“Soal cabar mencabar mengenai akuan berkanun (SD) ini perlu ada suatu proses dan ketelusan sebagai jaminan ‘good governance’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.