Peguam Najib tuntut kerajaan larang tayang ‘Man on the Run’

Peguam Najib tuntut kerajaan larang tayang ‘Man on the Run’

Tetuan Shafee & Co berkata kandungan dalam dokumentari di Netflix bersifat subjudis dan memudaratkan bekas perdana menteri.

Najib Razak sedang dibicarakan atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
PETALING JAYA:
Peguam Najib Razak menuntut kerajaan mengarahkan perkhidmatan aplikasi penstriman, Netflix, menurunkan serta melarang tayangan dokumentari berkaitan 1MDB.

Tetuan Shafee & Co berkata, “Man on the Run”, ditulis dan diarahkan Cassius Michael Kim, adalah subjudis dan memudaratkan kepada pembelaan Najib dalam bicara kes 1MDB yang masih berjalan.

Dokumentari itu berkisar peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, dalam 1MDB. Ia mula ditayangkan di pawagam tempatan pada Oktober tahun lalu dan kini tersedia kepada pelanggan Netflix.

“Kenyataan dikeluarkan oleh pihak diwawancara (dalam dokumentari) juga berbentuk satu penghinaan kepada mahkamah,” kata firma itu.

Pihak peguam juga mendakwa beberapa personaliti membuat kenyataan subjudis dalam filem itu, termasuk bekas peguam negara Tommy Thomas, bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia John Mallett, Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, bekas pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Charles O’Neal dan David Smith, bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka juga memohon Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memastikan dokumentari itu dilarang tayang, selain menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap kru produksi Kim kerana menyebarkan kandungan menghina.

Pada Isnin, Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan mengadu kepada Mahkamah Tinggi berhubung dokumentari tersebut.

Pada 2021, menteri komunikasi dan multimedia ketika itu, Annuar Musa, berkata undang-undang sedia ada di Malaysia tidak terpakai kepada penyedia perkhidmatan penstriman, termasuk syarikat beroperasi di luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedia berhubung dengan penyedia perkhidmatan untuk menyemak kandungan disiarkan mengambil kira kandungan “sangat tidak bersesuaian” kepada penonton Malaysia.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion didepositkan dalam akaun AmBank, antara Februari dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.