KPDN minta JPA penuhi kuota penguat kuasa

KPDN minta JPA penuhi kuota penguat kuasa

KPDN berharap JPA mempertimbang isi kuota penguat kuasa sedia ada dengan maksimum.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali berkata pengisian kuota penguat kuasa penting agar akta bawah kementerian dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh. (Gambar KPDNHEP)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meminta kuota penguat kuasa diisi ke tahap maksimum.

Menterinya Armizan Ali berkata, langkah itu penting untuk memastikan akta bawah kementerian dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Kami hanya ada lebih kurang 2,200 anggota di seluruh negara, tidak termasuk agensi-agensi lain,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di bangunan KPDN.

“Pada peringkat ini, bukan nak mohon untuk perjawatan baru, namun kami harap JPA dapat pertimbang pengisian maksimum terhadap (kuota) penjawat sedia ada.”

Sementara itu, Armizan berkata inisiatif Payung Rahmah yang sebelum ini lebih berteraskan kerajaan akan diperluas kepada konsep inisiatif Ihsan Rahmah industri dan swasta tahun ini.

Katanya, inisiatif Program Kebajikan Industri Swasta dan Industri dapat memberikan manfaat kepada masyarakat termasuk pekerja bawah kerangka Payung Rahmah.

“Selain memberikan diskaun makanan kepada pekerja, kami juga sedang menghalusi cadangan daripada pihak industri mengenai aplikasi berbentuk insentif.

“(Contohnya), apabila guna kad tertentu, rebat dan sebagainya akan ditawarkan kepada mereka,” katanya.

Berhubung isu warga asing mengisi minyak RON95 yang kembali tular baru-baru ini, Armizan berkata, pihaknya membuka kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.

“Kami sedang lakukan siasatan termasuk menyemak kebertanggungjawaban stesen minyak terlibat. Itu kami tidak akan kompromi,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan dua individu mengisi minyak RON95 dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand di sebuah stesen minyak di Rawang, menimbulkan pelbagai reaksi negatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.