
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata bagi tujuan itu agensi berkenaan diminta bekerjasama dengan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) di Jeddah, Arab Saudi yang menghimpunkan sarjana dari 57 negara dan mengadakan persidangan keilmuan Islam setiap tahun.
Menurutnya, di peringkat tempatan, Jakim akan bekerjasama dengan Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya.
“Kajian ini akan dibentangkan panel Mesyuarat Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa (JPPF) Jakim pada 14 Feb 2024 bagi mendapatkan pandangan, maklum balas serta cadangan penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan.
Arahan Na’im itu menyusul laporan FMT berhubung harapan wanita lahir tanpa rahim atau sindrom Mayer-Rokinstansky-Kauser-Hauser (MRKH) supaya fatwa berhubung prosedur pemindahan organ pembiakan itu dikaji semula.
Untuk rekod, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Oktober 2014 memutuskan hukum pendermaan dan pemindahan rahim tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap darurat.
Pertubuhan MRKH Malaysia dengan kerjasama HCTM UKM berjaya mendapat persetujuan pakar pembedahan pemindahan rahim dari Sweden, Dr Mats Brannstrom untuk melatih doktor tempatan bagi tujuan itu, namun berdepan kekangan fatwa dibuat 10 tahun lalu itu.
Mengulas lanjut, Na’im berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-122 pada Oktober lalu bersetuju fatwa itu disemak dan dikaji semula selepas mendengar pandangan hukum.
Katanya, mesyuarat Panel Pakar Syariah Jakim sebelum ini telah mendengar pembentangan pakar HCTC UKM diketuai Dr Ani Amelia Zainuddin.
“Berdasarkan pembentangan dan perbincangan, mesyuarat bersetuju permohonan untuk semakan semula hukum pendermaan rahim diterima dan kajian serta penyelidikan secara komprehensif harus dilaksanakan pihak perubatan HUKM,” katanya.