
Verinderjeet Singh, naib pengerusi Suruhanjaya Cukai Global ICC, berkata pelan fiskal yang tersedia secara umum akan mengelakkan Jabatan Kastam “sakit kepala”.
Pada 5 Jan, ahli ekonomi Geoffrey Williams menggesa kerajaan membatalkan cukai LVG, kerana sukar dilaksanakan selain menganggarkan kerajaan hanya akan mengutip RM200 juta setahun.
Williams menggesa kerajaan melaksanakan semakan penuh sistem cukai, dengan mengatakan ia penuh dengan levi “ad hoc” yang tidak cekap dalam meningkatkan hasil.
Bagaimanapun Veerinderjeet mempertahankan prinsip cukai LVG, yang digunakan untuk menyamakan kedudukan perniagaan tempatan kerana negara jiran seperti Australia telah melaksanakan cukai sama atas sebab sama.
“Gambaran lebih besar ialah (kerajaan) sudah buat keputusan, dan betul, untuk mewujudkan saingan sama rata.
“Kita tidak boleh membenarkan perdagangan (dalam talian) bebas daripada cukai ini. Jika anda membeli dari kedai (fizikal) barangan RM300 hingga RM400, anda akhirnya membayar cukai jualan juga,” tambahnya.
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan Williams mengenai masalah kutipan, dengan berkata Jabatan Kastam tidak dapat memastikan semua penjual dalam talian di negara lain mendaftar dengan kerajaan Malaysia dan menyimpan barang tidak dikenakan cukai di depoh kastam akan memberi masalah kepada pengguna.
“Apabila pihak berkuasa kastam meluaskan skop cukai, ia harus memahami perniagaan dan bersedia untuk memastikan ia meliputi semua sudut…itu isu pentadbiran yang perlu diselesaikan pihak berkuasa,” katanya.
Ketelusan dalam rancangan fiskal
Veerinderjeet berkata mengenakan cukai baharu secara tergesa-gesa akan memberi gambaran kepada orang ramai bahawa Kementerian Kewangan bertindak secara spontan dan membuat perubahan apabila ahli politik menolak idea tertentu.
“Tanggapan kita (sekarang) ialah tiada rancangan jangka panjang dan kita bergerak mengikut masa. Jika kerajaan melihat peluang, atau apabila ekonomi bertambah baik, maka anda berkata: ‘Oh, mari kita fikirkan tentang cukai kekayaan’.
“Pendekatan seperti itu boleh dipanggil ad hoc. Apa yang kita katakan ialah, dengan pelan lima hingga 10 tahun, sama ada akhirnya cukai barangan dan perkhidmatan atau cukai kekayaan, pertimbangkan apabila anda fikir ia perlu diperkenalkan dan buat perbincangan terbuka dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan mereka.”