Kebakaran rumah Ngeh, polis ambil 7 keterangan

Kebakaran rumah Ngeh, polis ambil 7 keterangan

Tetapi, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia termasuk dua jiran yang dilaporkan menekan loceng rumah mangsa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sudah mengambil keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang dipercayai berunsur khianat semalam.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia termasuk dua jiran yang dilaporkan menekan loceng rumah mangsa.

Tetapi, katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Kami akan terus memantau dan mempertingkatkan lagi rondaan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan laporan 11 sampel yang diambil Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Sebelum ini, Yusri dilaporkan berkata, siasatan awal di tempat kejadian menemui satu botol disyaki “molotov cocktail” yang dipercayai dibaling ke rumah Ngeh di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar.

Ketika kejadian pada 2.55 pagi semalam, Ngeh dan isteri yang sedang tidur di tingkat atas terjaga disebabkan loceng rumah yang dibunyikan berkali-kali oleh jiran.

Kebakaran itu menyebabkan Mercedes Benz E300 milik Ngeh musnah, manakala dua lagi kereta serta bumbung anjung rumah terbakar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.