Bukit Aman tak ekstradisi rakyat Malaysia berdepan kes dadah di Thailand

Bukit Aman tak ekstradisi rakyat Malaysia berdepan kes dadah di Thailand

Pegawai polis Thailand berkata Bukit Aman akan menyiasat untuk menyita harta suspek tetapi tidak memohon untuk mengekstradisi lelaki itu.

Suspek diberi kawalan keselamatan yang ketat ketika menaiki penerbangan khas dari Laos ke Bangkok sebelum dibawa ke pejabat Lembaga Kawalan Narkotik, Thailand. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang rakyat Malaysia yang berdepan kes dadah di Thailand tidak akan diekstradisi ke Malaysia kerana tiada waran tangkap terhadapnya di negara itu, kata seorang pegawai polis Thailand.

Setiausaha Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) Phanurat Lukboon berkata sebaliknya lelaki itu telah diusir ke Thailand dan akan berdepan dakwaan atas tuduhan pengedaran dadah.

“Dia tidak akan diekstradisi ke Malaysia kerana tiada ada waran tangkap terhadapnya di sana. Bagaimanapun, polis Malaysia akan menyoal siasat suspek di Bangkok untuk mengumpul maklumat yang boleh membawa kepada penyitaan hartanya di Malaysia bernilai 4 bilion baht (kira-kira RM530 juta),” katanya menurut Bernama.

Katanya, lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu ditangkap pada 28 Dis lalu di Vientiane, Laos, dan diusir ke Thailand pada hari Khamis.

Suspek juga diberi kawalan keselamatan yang ketat ketika menaiki penerbangan khas dari Laos ke Bangkok sebelum dibawa ke pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB).

Phanurat berkata, dengan tertangkapnya suspek, pengedaran dadah jenis “ice” (methamphetamine kristal) ke Australia, Taiwan, dan Malaysia dijangka berkurang lebih dari 40%.

“Suspek terlibat dalam 11 kes dadah di Thailand, Taiwan, dan Malaysia sejak 2018. Lelaki itu adalah dalang sindiket dadah yang beroperasi di Segitiga Emas,” katanya.

Katanya, ONCB dan agensi lain telah menyita sejumlah harta milik suspek di Thailand, termasuk sebidang tanah dengan bangunan di Bangkok, dua kondominium di Trat, tiga kapal layar di Chiang Rai, dan dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai, simpanan di 10 bank, dan harta lain di Chon Buri, dengan nilai keseluruhan melebihi 85 juta baht (kira-kira RM11.27 juta).

Lelaki itu dipercayai aktif dalam pengedaran dadah dari Segitiga Emas sejak 2006, beroperasi di seluruh Thailand, Malaysia, China, Singapura, dan Laos, bekerja dengan pelbagai rangkaian dadah.

Suspek juga menggunakan Thailand sebagai tempat pengubahan wang haram dan sebagai titik transit untuk penyeludupan dadah.

Penyiasat mengenal pasti lelaki itu sebagai dalang utama di sebalik rampasan dadah terbesar pada Jun tahun lalu, selepas 998kg methamphetamine kristal dirampas dan tujuh suspek ditangkap di wilayah Ratchaburi.

Satu waran tangkap kemudiannya dikeluarkan ke atas lelaki itu pada Ogos tahun yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.