Bekas pekerja kilang bunuh kekasih lesbian dipenjara 10 tahun

Bekas pekerja kilang bunuh kekasih lesbian dipenjara 10 tahun

Mahkamah diberitahu pergaduhan tercetus selepas C Somchit mengetahui kekasihnya bakal berkahwin dengan lelaki.

C Somchit mengaku bersalah di Mahkamah Rayuan atas tuduhan membunuh tanpa niat selepas pihak pendakwaan bersetuju menukar pertuduhan daripada membunuh. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pekerja kilang yang menjalinkan hubungan sejenis dengan teman serumahnya sebelum membunuh wanita itu kerana mangsa mahu berkahwin dengan lelaki, dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail mengarahkan hukuman penjara terhadap C Somchit bermula 23 Okt 2018. Terdahulu Somchit mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat.

Dua lagi hakim bersidang adalah Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya P Sarulatha memaklumkan panel hakim bahawa pihaknya bersetuju tuduhan membunuh dikenakan terhadap Somchit ditukar.

Pada 14 Julai 2021, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati terhadap Somchit, rakyat Malaysia berketurunan Thailand yang ketika itu berusia 25 tahun, kerana membunuh Suriati Mat Saad, 29.

Hakim Ghazali Cha dalam penghakimannya mengenal pasti pasangan itu sebagai kekasih.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Semarak, Sungai Petani, Kedah, antara tengah hari hingga 5.30 petang, 19 Sept 2011.

Menurut laporan bedah siasat, Suriati meninggal dunia akibat beberapa kesan tikaman, termasuk menembusi jantungnya.

Fakta kes mendedahkan berlaku pergaduhan antara mereka di mana Somchit juga cedera akibat ditikam. Pergaduhan dipercayai berpunca kerana Suriati mahu bertunang dengan seorang lelaki.

Somchit kemudian ditemukan tidak sedarkan diri di depan rumah jiran dan dibawa ke Hospital Sungai Petani.

Dalam rayuannya, peguam K Simon Murali berkata Somchit juga mengalami kecederaan yang hampir menyebabkan kematian tetapi berjaya diselamatkan.

“Dia ditangkap dan ditahan reman di hospital selama 14 hari. Dia kemudian dibebaskan tanpa syarat, tetapi tujuh tahun kemudian (2008), dia dikehendaki polis dan menyerah diri,” katanya.

Somchit kemudian didakwa atas tuduhan membunuh pada 23 Okt 2018.

Simon berkata, pegawai penyiasat juga memberi keterangan pada perbicaraan bahawa berlaku pergaduhan secara tiba-tiba dan besar antara dua wanita itu.

Katanya, seorang doktor juga memberi keterangan bahawa kecederaan dialami Somchit sangat serius sehingga limpa terpaksa dibuang.

Sarulatha mencadangkan Somchit dihukum penjara antara 12 hingga 15 tahun kerana mangsa kehilangan nyawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.