
Sumber industri berkata ada kumpulan terbabit mempunyai lesen kontraktor Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk mengaburi pihak berkuasa, bagi memudahkan membawa masuk pekerja asing mengisi kekosongan “tidak wujud”.
“Lagi tinggi nilai projek, lagi ramai mereka boleh bawa masuk… walaupun sebenarnya pekerjaan itu tidak wujud,” katanya kepada FMT sambil mendedahkan kegiatan itu dikesan apabila syarikat terbabit gagal mengemukakan senarai pekerjanya mengikut masa ditetapkan.
“Kebanyakan mereka mempunyai hubungan dengan sindiket di Bangladesh yang menerima bayaran sehingga RM20,000 bagi seorang pekerja asing.”
Sumber berkata syarikat terbabit menggunakan rakyat Malaysia sebagai ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama, yang kebanyakannya didaftarkan atas nama isteri rakyat tempatan yang dikahwini mereka.
“Ada syarikat mempunyai nilai terbitan RM1 juta dan pemiliknya baru berusia 30an,” dedah sumber itu.
Baru-baru ini FMT mendedahkan lebih 90 warga Bangladesh tersadai di asrama sempit tanpa pekerjaan sejak tiba di Malaysia, September lalu.

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) Kelvin Cheong berkata kumpulan warga Bangladesh itu dibawa masuk oleh majikan yang mempunyai lesen CIDB.
“Syarikat ini mempunyai kelulusan 280 kuota pengambilan pekerja asing dalam sektor pembinaan tetapi menjalankan aktiviti menyewa atau ‘out source’ pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata taktik licik sindiket itu sudah dibawa ke perhatian Kementerian Sumber Manusia, memandangkan banyak kes pekerja asing tersadai tanpa kerja masih gagal diselesaikan.
“Banyak syarikat menggunakan nama isteri warga tempatan sebagai ‘kambing hitam’ untuk membuat duit dengan mudah, ekoran kepincangan dasar dalam sistem negara ini,” katanya mendedahkan ratusan sindiket membekalkan pekerja asing dari Bangladesh bertapak di negara ini selepas PKP.
Mengapa warga Bangladesh memilih Malaysia
Bayaran kira-kira RM20,000 seorang dikenakan ejen atau sindiket di Bangladesh untuk masuk ke Malaysia jauh lebih murah berbanding bekerja di negara lain menyebab ramai rakyat negara itu memilih negara ini, dedah Kelvin.
Katanya, dasar kerajaan Bangladesh yang menggalakkan rakyat negara itu ke luar negara untuk bekerja dengan menawarkan pinjaman khas juga menyebabkan ramai rakyat negara Asia Selatan itu sanggup “berhutang” untuk mengubah nasib hidup.
“Nak masuk bekerja ke Australia, mereka perlu bayar sekurang-kurangnya RM50,000 kepada ejen, ke negara Arab juga dalam lingkungan sama… ke United Kingdom atau Amerika Syarikat (AS) lagi tinggi bayarannya, sampai RM80,000 pun ada bergantung kepada jenis kerja.
“Sebab itu mereka pilih Malaysia, kos paling murah,” kata Kelvin.