Sembunyi heroin dalam patung seni katak, sindiket antarabangsa tumpas

Sembunyi heroin dalam patung seni katak, sindiket antarabangsa tumpas

Polis Malaysia dan Hong Kong merampas pelbagai bahan kimia serta dadah dianggarkan bernilai RM7.89 juta.

Mohd Kamarudin Md Din (tiga dari kiri) menunjukkan acuan seni patung katak yang dirampas dalam serbuan Jumaat lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa hasil perkongsian maklumat dengan Biro Narkotik Hong Kong dan merampas pelbagai bahan kimia serta dadah dianggarkan bernilai RM7.89 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata, menerusi serbuan di sebuah kondominium di ibu negara Jumaat lepas, polis menahan seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki Hong Kong dan seorang wanita Mongolia berumur 25 hingga 48 tahun.

Dalam operasi pada hari sama, katanya, Biro Narkotik Hong Kong menahan seorang lelaki dan wanita warga tempatan berumur 26 tahun dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah di pulau itu.

“Hasil serbuan yang dilancarkan, polis merampas serbuk bahan kimia seberat 74.03kg dan 7.41kg heroin base di Malaysia, manakala 3.5kg heroin base pula dirampas di Hong Kong dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7.89 juta.

“Turut dirampas ialah peralatan pembungkusan dadah, selain acuan membuat patung dan patung berbentuk katak. Keseluruhan dadah dirampas itu boleh digunakan 399,169 orang,” katanya dalam sidang media khas di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Kamarudin berkata, sindiket itu menjadikan premis kediaman di ibu negara sebagai pusat pembungkusan dadah sebelum diedarkan ke pasaran Hong Kong.

“Suspek ditahan itu dipercayai menyembunyikan serbuk bahan kimia dan heroin base terbabit dalam patung yang dibuat sendiri, sebelum membungkusnya dan menggunakan khidmat kurier untuk dihantar ke Hong Kong.

“Apabila tiba di Hong Kong, serbuk bahan kimia dan heroin base terbabit dipercayai akan diproses semula untuk dijadikan dadah jenis heroin bagi pasaran di situ.”

Ujian saringan awal polis mendapati suspek wanita Mongolia terbabit positif methamphetamine dan amphetamine, manakala lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau kes jenayah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman tujuh hari bermula 6 hingga 12 Jan bagi membantu siasatan.

“Polis akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki-baki sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan. Masyarakat juga diharap menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di sekeliling mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.