Saman UEM-Renong: Mahkamah dengar permohonan ahli perniagaan rujuk isu perlembagaan 14 Mei

Saman UEM-Renong: Mahkamah dengar permohonan ahli perniagaan rujuk isu perlembagaan 14 Mei

Tiga defendan yang dinamakan dalam saman Halim Saad terdiri daripada Dr Mahathir Mohamad, Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.

Ahli perniagaan Halim Saad memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham UEM-Renong secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Permohonan ahli perniagaan Halim Saad untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berkaitan saman UEM-Renong terhadap Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi akan didengar pada 14 Mei depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Turut dinamakan dalam saman itu, bekas Menteri Kewangan II Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.

Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman, yang hadir bagi pihak ketiga-tiga defendan, mengesahkan perkara itu selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Suzana Muhamad Said.

Persoalan pertama ialah sama ada tuntutan Halim terhadap defendan mengenai pelanggaran haknya bagi mendapatkan layanan sama rata dan hak ke atas harta di bawah Perlembagaan Persekutuan mempunyai had masa.

Persoalan kedua, sama ada Halim dilarang daripada membangkitkan isu mengenai pelanggaran hak asasi disebabkan oleh saman yang difailkan oleh beliau sebelum ini pada 2003. Permohonan itu pula difailkan pada 18 Dis lepas.

Berdasarkan pernyataan tuntutan dan writ saman difailkan pada 2 Ogos lepas, Halim berkata, beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong, sekali gus membolehkannya memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa beliau diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti ditetapkan, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan Khazanah.

“Saya juga diarahkan agar keluar daripada UEM dan Renong sebagai pemegang saham, dan juga pengarah termasuk anak-anak syarikat dua syarikat itu,” katanya dalam pernyataan tuntutan itu.

“Ini mewajibkan saya untuk menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan dan selanjutnya melupuskan saham Renong milik saya dengan kerugian.”

Halim mendakwa Khazanah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6% saham Renong.

Justeru, Halim antaranya memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001 selain memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong.

Dalam pernyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan mengambil alih pemegangan saham tersebut kerana ia dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.