
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
“Usaha mengesan individu terlibat kini masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengesahkan penemuan botol disyaki mengandungi molotov cocktail yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.
Dalam kejadian 2.50 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan sebuah kereta musnah manakala dua lagi rosak.
Ia termasuk Mercedes E300 yang terbakar kira-kira 80%, manakala Honda CRV dan Toyota Hilux terbakar 5%, serta bumbung anjung rumah.
Ngeh dan isterinya dilaporkan sedang tidur semasa kejadian, sebelum mereka dikejutkan orang awam yang melalui kawasan itu dengan menekan loceng rumah.
Bulan lalu, Ngeh menimbulkan kontroversi susulan cadangannya melantik pakar bukan Islam dalam jawatankuasa khas untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah, yang dibantah pemimpin Umno dan pembangkang kerana menganggap beliau cuba mencampuri hal ehwal Islam.
Penasihat DAP Perak itu kemudiannya memohon maaf dan menarik balik saranannya sambil menjelaskan beliau tiada niat mencampuri hal ehwal Islam.