Loh menang rayuan pengislaman 3 anak tak sah

Loh menang rayuan pengislaman 3 anak tak sah

Mahkamah Rayuan juga menolak peruntukan dalam enakmen negeri Perlis yang membenarkan penukaran agama sebelah pihak.

Tiga anak Loh Siew Hong secara sebelah pihak ditukar agama kepada Islam, pada 7 Julai 2020.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan ibu tunggal, Loh Siew Hong, dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengislaman tiga anaknya yang di bawah umur di Perlis, empat tahun lalu sebagai berperlembagaan.

Panel tiga hakim bersidang dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail, berkata penukaran agama mereka “ultra vires” dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana tidak mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.

“Kami terikat dengan keputusan Indira Gandhi. Dalam kes ini, si ibu tidak memberi kebenaran kepada penukaran agama anak-anaknya kepada Islam,” katanya.

Dalam kes Indira, panel lima hakim secara sebulat suara memutuskan penukaran agama kanak-kanak memerlukan kebenaran kedua-dua ibu bapa walaupun ada pasangan mereka telah memeluk Islam.

Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Hashim Hamzah dan Hakim Azhahari Kamal Ramli, juga berkata panel berpandangan tiada keterangan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan teks bahasa Melayu Perlembagaan sebagai teks berautoriti.

“Justeru, kami mesti mengikuti teks bahasa Inggeris dalam mentafsir Perkara 12(4) Perlembagaan,” katanya dengan menyatakan perkataan “parent” dalam teks bahasa Inggeris merujuk ibu bapa.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak peruntukan dalam enakmen negeri Perlis yang membenarkan penukaran sebelah pihak, sambil menyatakan ia bertentangan dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan kes berkenaan berkepentingan awam, panel tidak mengarahkan sebarang kos.

Anak-anak Loh secara sebelah pihak diislamkan oleh bekas suami, Muhammad Nagahswaran Muniandy, di Perlis pada 2020.

Loh kemudian membawa perkara itu ke mahkamah, bagi mendapatkan pengisytiharan berkait peruntukan enakmen negeri itu yang membenarkan ibu atau bapa mengislamkan kanak-kanak di bawah umur sebagai tidak berperlembagaan.

Dia juga memohon pengisytiharan dua anak kembar perempuannya, berusia 15 tahun dan anak lelaki, berusia 11 tahun masih beragama Hindu.

Loh menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis sebagai responden.

Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Loh, dengan menyatakan tiada keterangan tiga anaknya itu berhenti mengamalkan Islam selepas dia mendapat hak penjagaan mereka, mengambil kira rayuan semasa.

Dalam penghakimannya, Hakim Wan Farid Wan Salleh turut berkata, pendaftar mualaf negeri Perlis berpuas hati bahawa keperluan undang-undang Seksyen 107(1) Enakmen Perlis 2006 telah dipatuhi dan anak-anak itu telah melafaz syahadah dengan rela hati.

Peguam A Srimurugan, J Gunamalar, Shamsher Singh Thind, dan Thian Yee Chin, mewakili Loh.

Peguam Haniff Khatri Abdulla mewakili MAIPs, manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Radhi Abas mewakili responden lain.

Haniff ketika memaklumkan kepada pemberita, beliau telah diarahkan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.