Guan Eng menang saman fitnah lawan bekas pemimpin Majlis Kaum Cina

Guan Eng menang saman fitnah lawan bekas pemimpin Majlis Kaum Cina

Pemimpin itu diarahkan membayar ganti rugi RM75,000 kepada bekas menteri kewangan kerana membuat kenyataan fitnah.

Lim Guan Eng merupakan menteri kewangan bermula 2018 to 2020 ketika ahli perniagaan, Chang Wei Lu, membuat kenyataan fitnah terhadapnya. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Mahkamah Tinggi mengarahkan seorang ahli perniagaan membayar ganti rugi dan kos berjumlah RM75,000 kepada bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng, berhubung kenyataan fitnah dibuat lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad juga memerintahkan injunksi kekal terhadap Chang Wei Lu daripada membuat apa jua kenyataan fitnah kepada Lim pada masa depan.

Pada 2019, Chang membayangkan Lim menjadi dalang menekan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip tunggakan cukai RM2.4 juta daripadanya.

Lim yang ketika itu merupakan menteri kewangan dalam pentadbiran Pakatan Harapan bermula 2018 hingga 2020, manakala Chang adalah bekas pemimpin Majlis Kaum Cina dan Dewan Perniagaan Cina di Pulau Pinang.

Kenyataan Chang kemudian diterbitkan dua akhbar berbahasa Cina. Lim mengemukakan tindakan perundangan berasingan terhadap dua akhbar berkenaan dan dianugerahkan ganti rugi RM150,000, pada 2022.

Azizan menganugerahkan Lim RM60,000 untuk ganti rugi am dan RM15,000 kos, selain faedah 5% setahun bermula 30 Okt 2019 hingga penyelesaian penuh.

Dalam sidang media pada 13 Mei 2019, Chang mendakwa derma RM500,000 diberikan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman “secara tidak sengaja” menimbulkan rasa tidak puas hati Lim, yang dikatakan enggan memberi dana kepada institusi itu.

Chang juga mendakwa beliau dikenakan RM2.4 juta bayaran cukai oleh LHDN dan dilarang meninggalkan negara.

Lim berhujah, kenyataan disiarkan menjadikan dirinya seperti menyalahgunakan kuasa sebagai menteri kewangan dan “salah guna” LHDN untuk mengambil tindakan terhadap Chang.

Katanya, kenyataan dibuat itu “menjejaskan dengan teruk” peribadi, reputasi, dan nama baik.

Lim diwakili peguam K Simon Murali, sementara peguam YC Wong dan KW Lim mewakili Chang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.