GRS tak akan sertai mana-mana ‘langkah’ tumbangkan kerajaan, kata Hajiji

GRS tak akan sertai mana-mana ‘langkah’ tumbangkan kerajaan, kata Hajiji

Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata tindakan itu membawa kepada kekacauan selain menjejaskan kestabilan negara.

Hajiji Noor berkata Gabungan Rakyat Sabah akan terus memberikan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan yakin dengan kepimpinan beliau. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan sesekali menyertai mana-mana ‘langkah’ untuk menggulingkan kerajaan persekutuan semasa kerana ia akan membawa kepada kekacauan selain menjejaskan kestabilan negara.

Pengerusi GRS Hajiji Noor, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata ketika ini negara memiliki kerajaan Madani yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri itu.

“Jadi kenapa perlu mengucar-kacirkan keadaan? Kita bekerja demi kemakmuran negara dan rakyat, kami tidak menyokong sebarang langkah yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Malaysia mengamalkan demokrasi, mereka yang bercita-cita menjadi perdana menteri perlu menunggu pilihan raya umum untuk melihat sama ada rakyat menerima mereka,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji berkata GRS turut memberikan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan yakin dengan kepimpinan beliau.

“Biarkanlah beliau memimpin negara kita yang berbilang kaum ini ke arah kemakmuran,” katanya.

Justeru, beliau mempersoal motif dan niat pihak yang menganjurkan ‘Langkah Dubai’ sama ada mereka sekadar ingin memenuhi agenda politik semata-mata tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.