
Dalam kenyataannya di laman sesawang rasmi hari ini, syarikat perladangan itu berkata, ia memperuntukkan RM112 juta untuk membuat bayaran balik yuran pengambilan kepada semua pekerja migran sedia ada, termasuk bekas pekerja.
Pembayaran itu dilaksanakan dalam tiga peringkat pada Mac, Jun dan September 2023.
FGV turut menegaskan memberi keutamaan kepada pelaksanaan pelan pemulihan bagi mendukung hak pekerja serta membuat segala penambahbaikan dalam amalan pengurusan pekerja.
“Malah, antara komponen utama dalam pelan pemulihan FGV adalah program pembayaran balik yuran pengambilan pekerja yang dikenakan pihak ketiga ke atas pekerja migran syarikat.
“Dalam proses pengesahan pembayaran balik kepada pekerja migran, FGV telah melantik syarikat konsultan antarabangsa, LRQA bagi kerja pengesahan usaha pembayaran balik yang dibuat.”
LRQA melaksanakan prosedur pengesahan itu antara 30 Okt dan 24 Nov 2023 yang menunjukkan 100% pekerja ditemubual telah menerima pembayaran balik oleh FGV.
Maklum balas positif daripada pengesahan LRQA juga jelas mencerminkan komitmen FGV dalam menjaga kebajikan dan hak pekerja, manakala bekas pekerja migran FGV yang layak turut menerima pampasan bagi yuran pengambilan pekerjaan.
“Menerusi kerjasama LRQA, FGV sedang bekerja keras menghubungi semula bekas pekerja migrannya untuk memaklumkan program pembayaran balik itu.
“Hebahan mengenainya turut disiarkan secara berkala di media sosial serta akhbar tempatan terkemuka di negara asal bekas pekerja migran.”
Menurut FGV, usaha pembayaran balik bekas pekerja migran FGV akan dijalankan sehingga penghujung 2024 dan ia telah membayar pampasan kepada 415 bekas pekerja migran dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1.77 juta setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nazrul Mansor berkata FGV komited terhadap prinsip “tiada yuran pengambilan dikenakan kepada pekerja FGV”.
“Kami telah berusaha untuk memastikan prosedur pengambilan pekerja syarikat selari piawaian amalan pengambilan pekerja beretika.”
Pada masa sama, FGV memperkukuh prosedur pengambilan pekerja migran dengan pelaksanaan langkah tambahan, termasuk menugaskan LRQA membuat kaji selidik dalam kalangan pekerja migran baharu untuk memastikan mereka tidak membuat sebarang bayaran pengambilan kerja kepada mana-mana pihak.
Selain itu, perjanjian terkini FGV dengan agensi pekerjaan dilantik juga menyatakan tanggungjawab mereka untuk mengembalikan sebarang bayaran yuran pengambilan pekerja yang dilaporkan pekerja migran dan semua pemulangan oleh agensi berkenaan akan disemak LRQA.
Malah, latar belakang agensi pekerjaan akan disiasat sebelum pelantikan oleh FGV dan agensi itu juga diwajibkan menjalani proses penilaian serta program naik taraf kendalian LRQA bagi memastikan pematuhan amalan pengambilan pekerja beretika.
FGV percaya inisiatif serta langkah ini akan memperkukuh amalan pengurusan pekerjanya, sejajar usaha menamatkan WRO.
“LRQA dijangka menjalankan penilaian lanjut pada suku pertama 2024 bagi menilai pelaksanaan keseluruhan perancangan pemulihan FGV.
“Sekiranya penilaian tersebut mendapati perancangan pemulihan berjalan lancar, FGV akan menghantar petisyen kepada CBP bagi menamatkan WRO yang dijangka pada suku kedua 2024.”