Buruh ladang didakwa bunuh majikan

Buruh ladang didakwa bunuh majikan

Tertuduh, Rudiansyah, 25, didakwa menyebabkan kematian Nordin Ong Abdullah, 71, antara 22 hingga 27 Disember lalu.

Warga Indonesia, Rudiansyah, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh majikannya di sebuah ladang kelapa sawit, bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang buruh ladang warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh majikannya di sebuah ladang kelapa sawit di Paya Rumput Jaya, Melaka bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Rudiansyah, 25, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa Indonesia di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi, lapor Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Nordin Ong Abdullah, 71, di rumah kebun, ladang kelapa sawit, Lorong Sidang Hj Hamid, Paya Rumput Jaya, Sungai Udang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dengan minimum 12 sebatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 22 hingga 27 Disember lalu kira-kira 10.30 pagi hingga 1.20 pagi.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mengendalikan pendakwaan.

Majistret menetapkan 19 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula, pengurusan kes, penyerahan laporan kimia dan bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.