Rodzi dilantik KSU Kementerian Digital

Rodzi dilantik KSU Kementerian Digital

Sebelum ini, Rodzi Md Saad ialah ketua pengarah Mampu dan pernah menjadi ketua pengarah keselamatan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital baharu, Rodzi Md Saad telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 34 tahun. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Digital berkuat kuasa 12 Dis 2023, umum Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali hari ini.

Rodzi, 60, sebelum ini ialah ketua pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan pernah menjadi ketua pengarah keselamatan negara.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 34 tahun serta berpengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran keselamatan negara meliputi pelbagai aspek termasuk sempadan, maritim serta keselamatan siber.

“Semoga dengan pelantikan ini, beliau dapat memacu pembangunan teknologi digital negara bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan digital yang holistik, inklusif dan lestari selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” kata Zuki dalam kenyataan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika melaksanakan rombakan Jemaah Menteri pertama kerajaan perpaduan pada 12 Dis lepas mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Anwar berkata, Kementerian Digital dibentuk untuk menerajui usaha transformasi digital supaya negara tidak ketinggalan dan dapat bersaing pantas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.