Mara biaya anak, cucu peneroka belajar luar negara

Mara biaya anak, cucu peneroka belajar luar negara

Timbalan perdana menteri berkata pelajar Felda layak akan dibantu melanjutkan pengajian.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata sektor pendidikan antara tumpuan diberikan dalam kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Felda.
KUALA LUMPUR:
Anak atau cucu peneroka Felda yang layak akan dibiayai untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, pelajar yang layak akan diberikan bantuan pembiayaan menerusi Mara, agensi bawah kementerian tersebut.

“Kita bersetuju untuk berikan pembiayaan kepada pelajar yang terdiri daripada anak cucu peneroka Felda untuk belajar di luar negara.

“Pembiayaan dan pinjaman (akan diberikan menerusi) Mara,” kata Zahid pada sidang media selepas pertemuan bersama kepimpinan tertinggi dan Pengerusi Felda Shabery Cheek di Menara Felda pagi tadi.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah salah satu bidang yang diberikan tumpuan dalam kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Felda.

Selain itu, kata Zahid, perkara lain yang dipersetujui dalam pertemuan itu termasuk koordinasi KKDW bersama Felda dalam mengendalikan kursus TVET untuk anak cucu peneroka, serta pembangunan kemudahan asas di 317 tanah rancangan Felda.

“Kita beri perhatian kepada generasi ketiga, empat, dan lima untuk bersama jalin kursus (TVET) baharu yang bersesuaian,” katanya.

Kerjasama KKDW-Felda akan turut membabitkan bidang keusahawanan, perladangan, serta kesiapsiagaan Felda bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.