
Hakim Besar Malaya Zabidin Diah, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan berkata, terdapat merit dalam rayuan You Poh Khoon terhadap hukuman itu.
“Dia patut diberi peluang untuk menjalani hukuman penjara. Hukuman mati yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah diketepikan,” katanya yang bersidang bersama Mary Lim dan Abu Bakar Jais.
Panel hakim memerintahkan hukuman penjara You, 58, bermula 9 Okt 2018, hari dia ditangkap. Dia juga dikecualikan daripada minimum 10 sebatan disebabkan usianya.
Mengikut undang-undang semasa, hakim diberi kuasa budi bicara untuk menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dalam kes bunuh, sebagai ganti hukuman mati.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengesahkan hukuman mati dijatuhkan ke atas You oleh Mahkamah Tinggi pada 2022.
You membunuh bapanya, Su Kim, 74, antara 3 petang 8 Okt dan 10.30 malam keesokan harinya, di rumah mereka di Kanthan Baru, Chemor, dekat Ipoh, Perak.
Pada prosiding hari ini, peguam bela Amir Faliq Mohamad Jamil memaklumkan mahkamah bahawa You menarik balik rayuan terhadap sabitannya. Beliau menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap You berikutan perubahan undang-undang.
Beliau berkata, You adalah satu-satunya anak daripada empat beradik yang menjaga bapa mereka, yang terlantar selepas disahkan menghidap kanser prostat tiga bulan sebelum kejadian.
Sesuatu berlaku antara anak dan bapa yang menyebabkan You hilang kawalan dan melakukan jenayah itu, katanya.
Amir, yang dibantu Siti Nor Syahidah Ismail dan Afina Hakim berkata, ahli keluarga You turut berharap dia tidak dijatuhi hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, berkata pihak pendakwaan menyokong perubahan hukuman yang dimohon dan sebaliknya meminta hukuman penjara antara 35 dan 40 tahun dijatuhkan.
“Keterangan forensik menunjukkan terdapat tiga kesan tetakan di leher yang menyebabkan kematian mangsa.
“Terdapat 15 lagi kecederaan, manakala tangan dan kaki mangsa dikerat,” katanya.
You didakwa memenggal kepala dan menetak badan bapanya selepas mangsa memarahinya kerana mengambil dadah di rumah.
Kepala mangsa ditanam di belakang rumah manakala bahagian badan dibuang ke dalam lubang kumbahan sedalam 1.5m.
You ditempatkan bawah pemerhatian di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak, selama 22 hari. Saksi pendakwaan Dr Ian Lloyd Anthony memberikan keterangan semasa perbicaraan bahawa fikiran You waras pada masa kesalahan itu dilakukan.