Istana tak terbabit percaturan politik, kata PM

Istana tak terbabit percaturan politik, kata PM

Anwar Ibrahim berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Istana Negara tidak akan terbabit dalam percaturan politik.

Anwar berkata perkara itu dijelaskan kepadanya ketika beliau menghadap Sultan Abdullah hari ini untuk membentangkan kertas Kabinet dan mengulas beberapa perkembangan semasa.

Menurut Anwar, Baginda dalam pertemuan itu memintanya sebagai perdana menteri dan kerajaan meneruskan kerja mengurus negara.

“Baginda juga bertitah bahawa pihak Istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

“Saya juga menambah seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara,” katanya di Facebook.

Kenyataan Anwar itu menyusul susulan dakwaan wujud gerakan digelar “Langkah Dubai” yang mahu menjatuhkan kerajaan pimpinannya.

Sebelum ini, media melaporkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, bahawa wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

Terbaru, beliau yang juga ketua pengarah pilihan raya PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Sementara itu, Azman Abidin, seorang daripada setiausaha politik Anwar meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan seorang pemimpin PN terbabit dalam cubaan merasuah individu berpengaruh dan Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan.

Dakwaan itu yang disiarkan sebuah blog mendakwa pemimpin PN yang juga seorang Ahli Parlimen, telah menyediakan dana sejumlah RM1 bilion untuk memberi rasuah kepada wakil rakyat kerajaan supaya menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.