Guan Eng dibenar cabar saksi utama perbicaraan rasuah terowong

Guan Eng dibenar cabar saksi utama perbicaraan rasuah terowong

Pihak pendakwaan bersetuju menyerahkan 31 muka surat keterangan yang diberikan oleh ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli kepada SPRM pada 2018.

Lim Guan Eng dituduh meminta suapan daripada ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli sebanyak 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini membenarkan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk meneruskan usaha mencabar saksi utama dalam perbicaraan rasuahnya.

Hakim Azura Alwi membenarkan pihak pembelaan mendapat akses kepada 31 muka surat keterangan yang diberikan oleh Zarul Ahmad Zulkifli kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2018, berhubung kes penipuan melibatkan seorang lagi saksi berpotensi, G Gnanaraja, untuk digunakan dalam prosiding cabaran.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen itu kepada peguam Lim selewat-lewatnya 17 Jan.

Pihak pembelaan mendakwa Zarul memberikan keterangan bercanggah kepada SPRM berhubung RM2 juta yang didakwa dibayarnya.

Tahun lepas, Zarul memberikan keterangan bahawa beliau membayar sejumlah RM4 juta pada 2017 kepada Lim dan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Katanya, jumlah yang dibayar kepada Lim merupakan sebahagian daripada suapan yang diterima bekas ketua menteri itu berhubung projek terowong dasar laut.

Zarul juga mendakwa, baki RM2 juta dimaksudkan untuk dibayar kepada Najib, yang dipercayainya boleh mempengaruhi SPRM untuk menutup siasatan terhadapnya.

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan projek terowong itu, dan menerima RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu.

Dia juga didakwa atas dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat

Peguam mewakili Lim, Haijan Omar memberitahu mahkamah, pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti kenyataan Zarul dan bersedia untuk prosiding cabaran, memandangkan bekas peguam utama Gobind Singh Deo bukan lagi sebahagian daripada pasukan guaman itu.

Pihak pembelaan akan bersedia untuk prosiding cabaran selewat-lewatnya bulan depan, katanya.

Perbicaraan diteruskan pada 26 hingga 27 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.