Cederakan penghantar barang, ‘abang blazer merah’ didenda RM2,000

Cederakan penghantar barang, ‘abang blazer merah’ didenda RM2,000

Muhammad Nazrul Hairie Harmi mengaku melakukan kesalahan itu pada 2 Nov lalu dalam kejadian yang tular di media sosial.

Tangkap layar video tular menunjukkan ‘abang blazer merah’ bergelut dengan penghantar barang, tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas seorang lelaki digelar “abang blazer merah” yang tular di media sosial kerana mencederakan seorang penghantar barang pada 2 Nov tahun lalu.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nazrul Hairie Harmi, 28, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Samier Ibruhem, 24, menggunakan kaki dan tangan pada 3.59 petang di Lobi Menara IQ, Lingkaran TRX, Tun Razak Exchange di sini.

Nazrul, yang bekerja sebagai kerani, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS manakala peguam Rhastdan Abdul Wahab memohon denda minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain penanggung utama keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.