
Laporan TIP ialah penilaian tahunan oleh kerajaan AS terhadap usaha negara-negara untuk membanteras pemerdagangan orang dan perhambaan moden.
Profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Yazid Zul Kepli berkata, penurunan kepada Tahap 3 dalam laporan TIP akan membawa kesan negatif terhadap hubungan ekonomi dan diplomatik negara.
“Malaysia perlu menangani kebimbangan berhubung pemerdagangan orang untuk menghindari akibat-akibat ini,” katanya, lapor NST.
“Sekatan ke atas negara-negara Tahap 3 laporan TIP mungkin melibatkan pengehadan akses kepada program bantuan asing AS, bantuan kewangan dan pinjaman.”
Yazid berkata, penurunan taraf itu mungkin turut menjejaskan faedah perdagangan dan penyertaan Malaysia dalam program pertukaran budaya.
Pada November, aktivis berpangkalan di United Kingdom, Andrew Wallis menggesa kerajaan Malaysia untuk “menaik taraf” undang-undangnya untuk menambah baik keadaan kerja dan kehidupan pekerja asing, sejajar dengan jangkaan dalam pasaran utama termasuk AS, UK dan Kesatuan Eropah .
Dalam wawancara eksklusif dengan FMT, Wallis turut menyeru perniagaan Malaysia supaya lebih peka terhadap perundangan lebih ketat yang diperkenalkan dalam pasaran eksport utama untuk menangani pemerdagangan orang dan perhambaan moden.
Pada 2017, Malaysia berada pada Tahap 2 dalam laporan TIP, dalam kalangan negara-negara yang tidak sepenuhnya mematuhi piawaian minimum AS, tetapi sedang berusaha keras untuk mematuhinya.
Pada tahun berikutnya, kedudukan Malaysia diturunkan kepada Senarai Pemantauan Tahap 2 sebelum diturunkan lagi ke Tahap 3 pada 2022.
Tahap 3 terdiri daripada negara-negara yang tidak melakukan sebarang usaha penting untuk mematuhi piawaian minimum AS.
Negara kembali kepada Senarai Pemantauan Tahap 2 dalam laporan tahun lepas.
Hukuman lebih berat
Sementara itu, Presiden Parti Kongres Keadilan India Malaysia R Shanmugam menyokong saranan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani agar denda yang tinggi dikenakan terhadap syarikat dan ejen yang membawa masuk pekerja asing tanpa menyediakan pekerjaan untuk mereka.
“Pekerja asing hanya dibenarkan masuk ke negara ini berdasarkan (satu) kuota yang diluluskan untuk (setiap) syarikat, tetapi beberapa syarikat menjual kuota (mereka),” katanya di Facebook.
“Rangka kerja kawal selia yang tidak mencukupi atau mekanisme penguatkuasaan yang lemah mungkin membenarkan majikan dan orang tengah yang tidak bertanggungjawab mengeksploitasi kelemahan (dan terlibat) dalam amalan menipu tanpa berdepan akibat yang cukup (padan dengan kesalahan).”
Shanmugam berkata, pihak yang mengeksploitasi sistem itu mesti dikenakan penalti kewangan lebih berat yang berkadaran dengan keterukan penipuan dan bilangan pekerja yang terlibat.
Mereka juga mesti dikehendaki oleh undang-undang untuk membayar pampasan kewangan kepada mangsa, katanya.
Shanmugam juga menggesa agar beberapa hukuman lain dikenakan terhadap perniagaan yang ingkar, termasuk pembatalan atau penggantungan lesen perniagaan dan larangan pengambilan pekerja.
Tambahnya, kerajaan juga patut mempunyai senarai hitam umum menunjukkan majikan yang ingkar.