Amang seksual pelajar, warden madrasah dipenjara 7 tahun

Amang seksual pelajar, warden madrasah dipenjara 7 tahun

Tertuduh juga dihukum enam sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan amang seksual dua pelajar di sebuah madrasah di Muar.

Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan terhadap Habib Yusri Yusof yang mengaku bersalah mencabul dua pelajar di sebuah madrasah di Muar, Johor. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang warden sebuah madrasah di Muar, Johor dihukum penjara tujuh tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar atas dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajarnya pada November dan awal tahun ini.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Habib Yusri Yusof, 45, mengaku bersalah atas dua tuduhan tersebut, lapor Harian Metro.

Menurut tuduhan pertama, Habib Yusri didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar berusia 14 pada jam 12 tengah hari, 4 Jan lalu.

Habib Yusri juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar warga Rohingya berusia 16 tahun pada jam 7.30 pagi, November tahun lalu.

Kedua-dua kejadian itu berlaku di madrasah tempat tertuduh bekerja.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 16 akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.