Polis ambil 35 keterangan kes pelajar lari dari sekolah asrama

Polis ambil 35 keterangan kes pelajar lari dari sekolah asrama

Polis berkata, siasatannya tidak menemui sebarang pengabaian daripada ibu bapa pelajar terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya akan mengambil keterangan beberapa individu lagi sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwa raya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis hampir melengkapkan siasatan kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di sini yang menyebabkan seorang pelajar melarikan diri dari asrama sekolah berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya sudah merakam percakapan 35 individu, termasuk pelajar yang didakwa menjadi mangsa buli di sekolah itu.

Setakat ini, katanya, siasatan polis juga tidak menemui sebarang pengabaian daripada pihak ibu bapa pelajar terbabit.

“Ada beberapa individu lagi yang akan dirakam percakapan mereka sebelum pihak polis menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwa raya pada minggu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Pada 20 Dis lalu, Allaudeen mengesahkan pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki melarikan diri dari asrama didakwa akibat dibuli pelajar lain pada 8 Dis lalu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001, selepas ibu kepada pelajar 14 tahun itu membuat laporan polis.

Ibu pelajar terbabit mengesahkan anaknya sudah dirakam percakapan oleh polis di IPK Kuala Lumpur pada 21 Dis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.