
Kumpulan hak asasi, Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpat) berkata, pada Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan hanya akan menggunakan akta itu bagi kenyataan berunsur provokatif terhadap raja-raja.
Bagaimanapun, sejak itu Presiden PAS Abdul Hadi Awang; pengarang buku, Kean Wong; dan Wan Azri didakwa mengikut akta berkenaan.
Jurucakap Madpat, Charles Hector, berkata beliau berharap kerajaan tidak mengabaikan janjinya, khususnya ketika timbulnya spekulasi “Langkah Dubai” mutakhir ini.
“Kebimbangan hilang kuasa politik tidak patut menjadi penghalang bagi memansuhkan Akta Hasutan dan semua undang-undang serta peruntukan drakonian.
“Rakyat mengundi anda kerana nilai, prinsip dan janji pembaharuan, tetapi apabila ini diabaikan kerana bimbang hilang sokongan politik, maka rakyat mesti menolak ahli politik dan parti politik seperti itu,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu hari ini, Wan Azri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan membuat kenyataan menghasut terhadap kerajaan.
Dakwaan kerajaan “pro-Israel dan pro-Barat” dikatakan dilakukan dalam satu video di Facebook pada 8 Nov 2023.
Anwar pada Julai lalu berkata Akta Hasutan digunakan ketika kerajaan lemah, dengan memberikan contoh bagaimana bekas perdana menteri Najib Razak pada penggal kedua pentadbirannya gagal memenuhi janji memansuhkan undang-undang berkenaan.