MCA memang ‘sesat’ tapi tak pernah aib lawan, Ti jawab DAP

MCA memang ‘sesat’ tapi tak pernah aib lawan, Ti jawab DAP

Ti Lian Ker berkata ini membezakan MCA dengan DAP yang mengelirukan demi mencari kekuatan.

Ti Lian Ker berkata kenyataan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok bahawa MCA ‘sesat’ adalah benar.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker mengakui MCA memang dalam “kesesatan”, tetapi ia tidak pernah mencaci, mengejek dan mengaibkan lawan, selain tetap setia bersama rakan seperjuangan ketika susah.

Katanya, ini membezakan MCA dan DAP yang mengelirukan demi mencari kekuatan.

“Semestinya kenyataan (Naib Pengerusi DAP) Teresa Kok bahawa ‘MCA sesat’ adalah benar.

“(Tetapi) MCA tidak pernah menangguk di air keruh atau hanya mencari rakan dan lawan mengikut kesenangan dan kesesuaian politik. Inilah beza MCA yang sesat demi menegak kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Presiden MCA, Wee Ka Siong dilaporkan membidas Kok yang mendakwa parti komponen Barisan Nasional itu agak “sesat”.

Bekas menteri pengangkutan itu berkata, MCA menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tetapi parti itu tidak sesekali akan menjadi “pak turut” semata-mata.

Ti berkata, perbezaan MCA dan DAP ialah MCA dipandang serta diterima sebagai parti sederhana, selain pendekatan dan perjalanan politiknya berpaksikan kesederhanaan.

Katanya, MCA tidak pernah melaungkan retorik politik menghapuskan hak Bumiputera yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan atau usaha ke arah itu.

“Hari ini, MCA terpaksa bekerjasama dengan DAP dan umum mengetahui pengundi tradisi MCA selama ini terdiri sebilangan besar pengundi Melayu yang mendukung perjuangan MCA sebagai sebuah parti tidak radikal.

“Maka, MCA dilihat akan kehilangan undi Melayu yang pada masa ini cenderung kepada PAS kerana ketidakselesaan pengundi Melayu, termasuk ahli Umno dengan DAP terhadap gabungan kerajaan perpaduan.”

Beliau berkata, DAP masih tidak mengiktiraf pengorbanan MCA demi mengukuhkan kerajaan perpaduan dengan ketegasan mereka untuk kekal bertanding di semua kawasan dimenanginya pada PRU15 lalu, tanpa mengambil kira pengorbanan setiap parti yang menjadikan kerajaan perpaduan realiti.

“Sebaliknya, DAP memilih untuk terus mengejek MCA sebagai parti dua kerusi Parlimen atas sokongan pengundi majoriti Melayu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.