Mayat tanpa kepala, tangan dan kaki bukan mangsa kes hilang

Mayat tanpa kepala, tangan dan kaki bukan mangsa kes hilang

Polis berkata, perbandingan sampel DNA mayat itu dan ahli keluarga tidak sepadan mangsa kes hilang di Batu Pahat dan Gemencheh.

Mayat tanpa pakaian disyaki wanita berusia 20 hingga 30-an ditemui orang awam dalam tong sampah di longkang tepi jalan di Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Dis lalu. (Gambar PDRM)
MELAKA:
Mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki yang ditemui dalam tong sampah di longkang tepi jalan di Alor Gajah pada 31 Dis lalu bukan mangsa kes hilang yang dilaporkan di Batu Pahat, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata hal ini kerana perbandingan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat itu yang dijalankan menerusi ahli keluarga tidak sepadan mangsa kes hilang terbabit.

“Spesimen DNA berkenaan turut dihantar ke Bahagian D13 (Data bank/DNA) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk dibuat semakan dengan kes-kes lain yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainol berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan identiti sebenar si mati dan orang ramai mempunyai maklumat dimohon ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 06-5562222.

Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat tanpa pakaian disyaki seorang wanita berusia 20 hingga 30-an oleh orang awam kira-kira 2 petang di longkang tepi jalan di Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Dis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.