Mahfuz, Hatta dilantik naib presiden Amanah

Mahfuz, Hatta dilantik naib presiden Amanah

Mereka yang dilantik adalah daripada 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan (JKP) dipilih pada Konvensyen Amanah Nasional 24 Dis lalu.

Mahfuz Omar (kiri) dan Dr Hatta Ramli menyertai tiga yang lain sebagai naib presiden Amanah.
PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar dan bekas setiausaha agung Amanah Dr Hatta Ramli dilantik sebagai naib presiden parti itu.

Mahfuz adalah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena manakala Hatta yang juga senator, adalah bekas Ahli Parlimen Lumut dan Kuala Krai.

Pada mesyuarat Amanah hari ini, Faiz Fadzil turut dilantik sebagai setiausaha agung manakala Norhayati Bidin timbalan setiausaha agung yang baharu.

Pemimpin lain dilantik termasuk Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan sebagai pengarah pilihan raya, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat sebagai pengarah pembangunan sumber manusia, Adun Pandan Indah Izham Hashim sebagai bendahari agung, dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad sebagai pengarah komunikasi.

Mereka yang dilantik adalah daripada 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan (JKP) dipilih pada Konvensyen Amanah Nasional 24 Dis lalu, di mana Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu mengekalkan jawatan sebagai presiden.

Dalam kenyataan, Faiz berkata pelantikan jawatan pengurusan merangkumi gandingan pimpinan berpengalaman dan muda.

Katanya, pelantikan pengerusi Amanah negeri akan dibuat dalam mesyuarat Amanah Nasional akan datang selepas notis bertulis yang cukup diberikan kepada setiap kawasan seluruh negara bagi menamakan calon sesuai dan layak.

“Calon ini akan dipertimbang dan diputuskan oleh presiden dan JKP,”  katanya.

Pada 24 Dis lalu, Mujahid Yusof Rawa turut dilantik sebagai timbalan presiden. Jawatan itu sebelum ini disandang Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai naib presiden baharu, bersama bekas exco Selangor Dr Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Mat Sabu yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan mengetuai Amanah sejak ditubuhkan pada 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.