
Ketua Polis Terengganu, Mazli Mazlan, berkata jumlah itu melibatkan lima kertas siasatan terhadap pegawai kanan, 65 pegawai rendah polis dan dua pegawai awam.
“Sebanyak 45 kertas enkuiri tatatertib juga dibuka melibatkan sembilan pegawai kanan dan 50 pegawai rendah polis bagi tempoh sama.
“Sementara itu, siasatan kes Op Selendang juga selesai dijalankan dan sebanyak 12 anggota polis diambil bekerja semula,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan di IPK Terengganu.
Pada 24 Jan tahun lalu, Bernama melaporkan dua pegawai dan 12 anggota polis ditahan kerana menjadi ahli pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) yang terlibat dalam aktiviti keganasan dan gengsterisme di sekitar Dungun dan Kuala Terengganu.
Bekas ketua polis Terengganu, Rohaimi Md Isa, bagaimanapun berkata hanya sebilangan mereka yang ditahan terlibat secara langsung dengan perlakuan jenayah, namun menurutnya menjadi ahli pertubuhan haram juga suatu bentuk kesalahan.
Sementara itu, Mazli berkata IPK Terengganu turut mencatatkan prestasi amat baik sepanjang tahun lalu, antaranya kadar jenayah indeks menurun sebanyak 7.24% iaitu kepada 1,370 kes berbanding 1,477 kes pada 2022.
Menurutnya, penyelesaian kes oleh Jabatan Siasatan Jenayah juga mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan iaitu 1,021 kes atau 74.5%.
“Bagi statistik tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula, kes bekalan atau memiliki bawah Seksyen 6, 6B, 12(2), 39A (1), 39A (2) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 menurun kepada 3,496 orang berbanding 3,880 orang pada tahun sebelumnya.
“Nilai rampasan dadah sepanjang tahun lepas pula adalah RM4,478,042.48 antaranya menerusi Op Camar melibatkan rampasan 7kg pil yaba di Besut,” katanya.
Kes jenayah komersial menyaksikan jumlah kerugian tahun lalu meningkat kepada RM33,324,213.03 berbanding RM24,382,776.53 tahun sebelumnya dengan sejumlah 658 tangkapan dibuat berbanding 536 tangkapan pada 2022.