Padu: Komunikasi lemah akan jejas undi, kata penganalisis

Padu: Komunikasi lemah akan jejas undi, kata penganalisis

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilihat seolah-olah mengetepikan isu dibangkitkan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada sidang media mengenai Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) Khamis lalu.
PETALING JAYA:
Komunikasi lemah berhubung Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) akan menjejaskan undi kerajaan pada pilihan raya, kata penganalisis.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, komunikasi lemah kerajaan dalam menguruskan isu dibangkitkan sejak pengenalan Padu mungkin memberikan “peluru” kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan.

Azmil berkata, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli khususnya seolah-olah mengetepikan isu dibangkitkan pengguna Padu, termasuk bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming daripada DAP.

“Beliau kelihatan kurang memberi perhatian kepada isu dibangkitkan rakan gabungannya, menimbulkan tanggapan (bahawa beliau percaya) program itu sudah sempurna dan tidak boleh dikritik.

“Isu ini, seperti isu privasi data, boleh digunakan oleh pembangkang untuk menyerang kerajaan,” katanya kepada FMT.

Azmil mencadangkan kerajaan lebih terlibat dengan akar umbi dan menjelaskan Padu kepada orang ramai serta pihak berkepentingan melalui jerayawara dan “town hall”.

Azmi pula berkata, Rafizi tidak menawarkan sebarang penyelesaian kepada isu dibangkitkan seperti orang yang tidak mempunyai telefon pintar tidak dapat mengemas kini butiran mereka dan kemungkinan akaun Padu didaftarkan oleh orang lain tanpa pengetahuan individu sebenar.

“Ini (isu) tidak sepatutnya berlaku, tetapi berlaku dan boleh digunakan sebagai senjata politik oleh pembangkang,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Padu sebagai pangkalan data pusat bagi pelarasan subsidi bersasar, salah satu keutamaan kerajaan untuk 2024.

Sejak diperkenalkan, ahli politik dan pelbagai kumpulan menimbulkan pelbagai isu membabitkan Padu. Ong, bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri mencadangkan kerajaan menangguhkan pendaftaran pengguna Padu sehingga masalah keselamatannya diselesaikan.

Lawyers for Liberty juga menggesa pendaftaran Padu ditangguhkan, kerana bimbang mengenai potensi penyalahgunaan dan keselamatan data memandangkan kerajaan dikecualikan daripada liabiliti bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Sebagai maklum balas, Rafizi berkata agensi kerajaan dilindungi oleh peraturan mereka sendiri mengenai data, bukan PDPA.

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Rafizi perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan isu dibangkitkan, memandangkan Padu masih baru.

Beliau berkata, jawapan Rafizi adalah berdasarkan fakta, dan boleh meredakan semua kebimbangan orang ramai mengenai perkara itu.

“Saya percaya isu Padu tidak perlu dipolitikkan. Kita perlu memberi ruang kepada Rafizi untuk memerhati dan menilai kemampuannya menguruskan isu tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.