Nafi minum arak, makan babi di pejabat; Tiong cabar penuduh semuka

Nafi minum arak, makan babi di pejabat; Tiong cabar penuduh semuka

Menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan tidak menolak mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan fitnah seperti itu tidak berulang.

Tiong King Sing minta pihak yang membuat dakwaan itu mendedahkan identiti jika tuduhan tersebut benar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiong King Sing mencabar penuduh tampil dan bersemuka dengannya selepas dakwaan beliau minum arak dan makan daging babi di pejabat tersebar di WhatsApp.

Menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan tidak menolak mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan fitnah seperti itu tidak berlanjutan dan berulang.

Dalam kenyataan, beliau meminta pihak yang membuat tuduhan itu mendedahkan identiti jika ia benar.

Tiong juga menafikan dakwaan dikatakan daripada bekas “orang kanan” Kementerian Kesihatan itu, konon beliau mengarahkan kakitangan Islam membersihkan sisa makanan selepas makan daging babi dan minum arak.

“Tuduhan ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa saya seorang yang tidak menghormati penjawat awam dan mengaitkan kenyataan saya sebelum ini mengenai pengharaman minuman keras di Kedah sebagai ‘peluru’.

“Tolong, jangan cuba kelirukan rakyat dengan dua isu yang berbeza,” katanya.

Selain itu, Tiong menafikan dakwaan menyimpan arak di pejabat namun memaklumkan ia adalah hadiah daripada tetamu luar negara terdiri pelbagai latar belakang dan budaya.

“Atas dasar menghormati, saya menerima hadiah tersebut tetapi tidak bermakna ia menjadi hak peribadi saya.

“Sebagai wakil penjawat awam, saya tidak menolak pemberian tersebut tetapi pada masa sama tidak wajar untuk saya membawa hadiah itu pulang dan menganggap ia sebagai hak mutlak sedangkan ia diberi atas kapasiti perjumpaan rasmi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.