
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta (Papsma) Kris Foo Yin Choo berkata pelan kelonggaran membabitkan lima sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian, dan perkhidmatan restoran membolehkan proses membawa masuk pekerja asing disegerakan.
Menurutnya, ada sesetengah majikan mengambil kesempatan atas kelonggaran itu dengan memohon kuota melebihi jumlah tenaga asing yang diperlukan.
Kris percaya dasar kerajaan yang kerap berubah membuka ruang kepada penipuan dan eksploitasi, merujuk kes 171 rakyat Bangladesh di Johor bulan lalu.
“Sepatutnya dasar kerajaan harus tegas. Tak boleh buka setahun selepas itu tutup kerana itu hanya mencemaskan majikan yang mempunyai perancangan jangka panjang.
“Disebabkan pekerja asing sukar nak dapat… bila kelulusan dibuka, majikan buat permohonan melebihi daripada keperluan kerana takut kerajaan tutup semula,” katanya kepada FMT.
Pada Januari tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelan kelonggaran penggajian pekerja asing mengambil kira situasi ‘tidak pernah berlaku’ demi memudahkan proses pengambilan pekerja mengisi kekosongan dalam sektor kritikal.
Melalui pelan itu, majikan dibenar menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kemampuan dan keperluan sebenar tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Bagaimanapun, pada Mac, menteri sumber manusia ketika itu V Sivakumar memaklumkan kerajaan menangguhkan permohonan dan kelulusan baharu kuota pekerja asing sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.
Namun, pada September, Jemaah Menteri memutuskan untuk membuka 7,500 kuota pekerja asing bagi pengambilan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas, yang sebelum ini dibekukan sejak 2009.
Beri lebih kuasa kepada Jabatan Tenaga Kerja
Kris mencadangkan Putrajaya meletakkan tanggungjawab mengurus pekerja asing di bawah Kementerian Sumber Manusia, dengan memperkasakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerusi pertambahan anggota selain kuasa kutipan hasil.
Menurutnya, hal ehwal pekerja asing banyak dikendalikan oleh JTK namun kuasa agensi itu sangat terhad dan perlu dilengkapi dengan lebih kuasa undang-undang, selain anggotanya perlu ditambah.
Beliau turut mencadangkan majikan gagal membayar gaji dan melanggar undang-undang disenarai hitam selain diwajibkannya menyediakan penginapan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
Tegasnya, kegagalan kerajaan mengatasi isu itu mungkin menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Laporan Penyeludupan Orang (TIP) yang kini pada Tangga 2 Senarai Perhatian.