Cadangan mekanisme bayaran hasil persekutuan bagi Sabah dikemuka Selasa, kata Upko

Cadangan mekanisme bayaran hasil persekutuan bagi Sabah dikemuka Selasa, kata Upko

Ia hasil perbincangan Upko bersama beberapa pakar termasuk peguam, bekas majistret serta pakar perakaunan, percukaian, dan pengauditan.

Presiden Upko Ewon Benedick berharap kerajaan negeri akan mengemukakan mekanisme baharu kepada kerajaan persekutuan.
TELUPID:
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) akan mengemukakan cadangan mekanisme pembayaran semula 40% hasil persekutuan bagi Sabah dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Hajiji Noor, Selasa ini.

Presiden Ewon Benedick berkata cadangan itu hasil perbincangan pemimpin Upko bersama beberapa pakar termasuk peguam, bekas majistret serta pakar perakaunan, percukaian, dan pengauditan.

“Perbincangan bagi menentukan mekanisme perlu dibuat di antara kerajaan Sabah dan persekutuan. Justeru kita akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri pada Selasa ini.

“Kita perlu tampil dengan satu mekanisme yang memudahkan semua pihak untuk melaksanakan apa yang tertunggak sejak 1974,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan rumah terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 anjuran Upko.

Beliau yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi berharap kerajaan negeri akan mengemukakan mekanisme baharu kepada kerajaan persekutuan dan seterusnya mendapat maklum balas positif.

“Kita maklum ramai pemimpin dari Sabah pernah duduk di dalam Kabinet Persekutuan dan pada saya, ini satu tanggungjawab besar, sebab itu saya mengambil inisiatif sendiri dengan sokongan parti untuk mencari cadangan mekanisme untuk perkara ini,” katanya.

Mengenai kemasukan semula bekas pemimpin dan ahli parti itu ke dalam Upko, Ewon berkata parti itu sentiasa terbuka dan mengalukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti itu terutama dalam kalangan belia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.