
Pengarah LFL Zaid Malek berkata, perlindungan data peribadi tidak boleh diserahkan kepada peraturan “ad hoc dan dangkal” setiap agensi atau jabatan kerajaan.
“Peraturan-peraturan sedemikian, walaupun di mana ia wujud, tidak memberikan perlindungan yang berkesan dan menyeluruh seperti yang diberikan oleh APDP (Akta Perlindungan Data Peribadi 2012),” katanya dalam kenyataan.
Zaid berkata, APDP melindungi data mengikut prinsip yang disusun dengan teliti, mengawal selia pendedahan, keselamatan, pengekalan dan integriti data.
Beliau berkata, Rafizi harus sedar bahawa peraturan agensi kerajaan tidak mempunyai perlindungan sedemikian, sekali gus mendedahkan data peribadi orang ramai kepada risiko salah guna.
“Seantero dunia, data kerajaan tertakluk kepada peraturan sejenis APDP, namun menurut menteri itu (Rafizi), data peribadi rakyat Malaysia tidak memerlukan perlindungan sedemikian.
“Hakikatnya, Malaysia dan Singapura sahaja negara yang mengecualikan data kerajaan daripada perundangan APDP,” katanya.
Semalam, Rafizi mengkritik LFL atas cadangan menangguhkan inisiatif Padu sehinggalah APDP dipinda.
LFL menyatakan sebelum ini bahawa kerajaan dikecualikan daripada liabiliti bawah APDP, dan ini merisikokan orang ramai dan menimbulkan bahaya kehilangan atau kerosakan data.
Rafizi meminta LFL “faham terlebih dahulu perbezaan antara data yang diliputi oleh PDPA dan data awam”.
Sebagai respons, Zaid berkata, sifat dan nilai data peribadi adalah sama tidak kira sama ada data awam mahupun sebaliknya.
“Tidak kira sama ada ia digunakan oleh perniagaan swasta atau kerajaan, ia mesti dilindungi sama rata,” katanya.