
Hakim Khadijah Idris memerintahkan pendaftar kelahiran dan kematian menerbitkan semula sijil kelahiran kanak-kanak perempuan itu, memandangkan dia seorang warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.
Mahkamah berkata kanak-kanak itu tergolong dalam “kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan” yang disebut dalam Perenggan 19B Bahagian 3 Jadual Kedua Perlembagaan.
“Kanak-kanak itu hendaklah dianggap dilahirkan oleh seorang ibu yang bermastautin secara tetap di persekutuan ini,” katanya dalam penghakiman yang diterbitkan petang tadi.
Beliau berkata keputusan oleh pendaftar sebelum ini menyatakan kanak-kanak itu bukan seorang warganegara dalam sijil kelahirannya adalah tidak mengikut undang-undang dan melanggar hak kanak-kanak selaku seorang warganegara.
Peguam mereka, Sharmini Thiruchelvam, berkata kanak-kanak itu dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur pada Februari 2013.
Beliau berkata anak guamnya dimaklumkan oleh seorang wanita bahawa kanak-kanak itu diabaikan.
Pada awalnya pasangan itu tidak berjaya mendaftarkan kanak-kanak itu sebagai anak mereka. Pada 2017, mereka mengambil keputusan untuk mengambilnya sebagai anak angkat.
Mereka memohon penyelesaian di mahkamah pada Jun 2022, apabila mendapati kanak-kanak itu dianggap sebagai bukan warganegara dalam sijil kelahirannya.
Penasihat undang-undang, V Krishna Priya, tampil mewakili kerajaan dan pendaftar.